Monday, 3 October 2011

Program Kelab Kembara PSIS Sesi Julai 2009


Bukit Kutu dan Sungai Chiling, Kuala Kubu Baru, Selangor

Program Kelab Kembara pada semester ini telah dilaksanakan di Bukit Kutu dan Sungai Chiling, Kuala Kubu Baru, Selangor pada 23 - 24 Disember 2009. Program ini telah dihadiri oleh tiga pensyarah pengiring iaitu Puan Norfazelah Binti Abu Bakar, Puan Farihah Binti Mansor dan EncikMohd Khir Salimin bersama 11 orang ahli Kelab Kembara.



Pelajar yang menyertai Ekspedisi Bukit Kutu dan Sungai Chilling 

Muhamad Ezany Bin Zawawi, Firhat Bin Histam, Pratab Ganesan, Ibrahim Amiruddin, Muhammad Faiz Fikri, Mohamad Ramadhan Sulaiman, Muhammad Aizat bin Md Ali, Mohd Zamri Bin Sharif, Mohd Arif Bin Mazlan, Nor Aqasah Binti Sulaiman dan Nabila Huda Binti Ismail.


    Pengenalan dan ringkasan program

           Bukit Kutu, dengan ketinggian 1200 meter kira-kira 1km dari Kuala Kubu Bahru pada 1900an dulu adalah “weekend retreat” untuk  orang-orang British dan pernah di bom sewaktu Perang Dunia Kedua oleh pihak  Jepun. Dikala musim panas dan cerah, pemandangan begitu indah dimana seluruh Pekan Kuala Kubu dan Genting Highland jelas kelihatan dari puncaknya. Ekspedisi ini diketuai oleh Encik Eddie Yap dan tiga pensyarah iaitu Puan Norfazelah Binti Abu Bakar,Puan Farihah Binti Mansor dan Encik Mohd Khir Salimin, Politeknik Sultan Idris Shah.Jumlah pelajar yang menyertai ekspedisi ini mempunyai 11 orang.

            Bukit Kutu memerlukan sedikit keringat dan langkah panjang serta curam dan akan mengambil masa 4 ke 5 jam untuk sampai ke pucak. Ada juga dengar sembang-sembang dari rakan-rakan, mereka boleh  daki hanya dalam masa 1 jam setengah. Curiga juga dengan masa tu berbanding dengan kecuraman bukit, namun pada saya lebih gemar untuk mengambil masa sendiri mengikut acuan badan yang dah berumur. Saya lebih gemar mengambil langkah santai dan berhenti kerap untuk mengambil nafas disamping menghayati pemandangan.


             Persiapan perlu ada terutamanya dari segi stamina dan stok makanan untuk dibawa bersama. Kalau tidak ada stamina, jangan cuba-cuba nak daki, nanti merana diri. Walaubagaimana pun sejarah Bukit ini amat menguja kerana pada zaman kolonial British dahulu Rumah Rehat ini dibina untuk tempat istirehat mingguan kalangan warga British. Kami juga amat menghormati mereka kerana dengan jarak perjalanan dan kecuraman Bukit ini,  mereka masih boleh membawa peralatan dan membina rumah rehat di puncaknya.  Namun  sekarang, Rumah rehat yang dibina hanya tinggalan runtuhan akibat dari serangan  bom oleh pihak Jepun sewaktu perang dunia kedua.  Disini kita boleh meniti urutan sejarah dari cebisan runtuhan yang tinggal sisa membayangkan bagaimana kehidupan ketika itu. 


             Trek perjalanan menuju ke puncak menyeberangi 2 sungai dan beberapa anak sungai pada permulaanya. Bukit  Kutu pada permulaan perjalanan adalah kawasan landai yang melalui dusun durian orang asli yang kadangkala amat mengelirukan dan bersimpang siur apatah lagi semasa  musim durian. Pokok renek dan semak samun setinggi leher kita perlu tempuh sepanjang perjalanan kerana trek biasanya berbeza-beza mengikut jurupandu yang membawa. Setelah menempuh seman samun kita akan berjumpa dengan laluan hutan yang biasa di gunakan. Pada peringkat ini laluan agak sukar dan kian curam. Disini bermula aspek stamina dan latihan yang telah dibuat menjadi taruhan.

              Pendakian yang panjang ini mula menimbulkan pertanyaan dibenak hati bagaimana orang Inggeris dahulu boleh memilih untuk mendirikan rumah istirehat di puncak yang tidak jalan untuk kesana. Hairan, pelik dan macam-macam perasaan ketika kepenatan mula terasa. Laluan amat curam dan dipenuhi dengan semak samun dan pokok-pokok. Secara amnya, ianya bukanlah tempat yang sesuai untuk mendirikan rumah, pada fikiran saya. Walaubagaimana pun kita dapat melihat betapa kecekalan dan kemahuan orang Inggeris dahulu untuk membina jalan, bangunan sehingga kepuncak tanpa peralatan dan mesin seperti sekarang. Tidak boleh dibayangkan  betapa sukarnya pekerja ketika itu untuk membuat jalan, dan berapa ramai yang terlibat serta berapa lama mereka menyiapkanya. Tetap menjadi persoalan sehingga kini. Masa mengubah keadaan, jalan yang dibuat dulu kini telah diliputi hutan, namun ia masih lagi kelihatan. Laluan yang kami lalui kadang-kadang ikut laluan jalan tersebut dan kadangkalanya secara memintas untuk mengelakkan laluan lebih jauh. Laluan pintas kadangkala memaksa pendaki memanjat ceruman hampir 90 darjah, jalan asal yang dibina (oleh orang Inggeris) masih kelihatan tetapi  dipenuhi pokok yang begitu rapat dan tidak boleh dilalui sama sekali. “Kan mudah kalau pokok-pokok ni tak ada” terbisik di dalam hati saya bila cerunan yang perlu dipanjat kian  panjang apatah lagi laluan mudah (jalan asal) masih kelihatan namun tidak dapat di lalui kerana dipenuhi pokok.
      
            Sebelum sampai kerumah berkenaan kami melalui satu kawasan rata yang agak luas dan agak rata,. Kami difahamkan ia adalah  sebuah kawasan rekreasi untuk bermain bola penghuni yang bertandang ketika itu. Agak susah untuk membayangkan betapa pihak Inggeris memikirkan sehingga tahap pada padang bola pada puncak bukit untuk memenuhi citarasa dan kemudahan mereka ketika itu. Entah berapa biji bola yang hilang kalau dah tertendang ke hujung gaung. Kami juga terjumpa tiang besi berkarat, tiang gol barangkali… hebat mereka ni. Yang pasti kami mengambil masa hampir 5.30 jam untuk sampai dengan gerak santai dan banyak berhenti. Kepuasan sampai kepuncak,  tarik nafas lega dan menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan. Rumah Istirehat orang  Inggeris tidak kelihatan, yang masih tinggal hanyalah ruang “chimney” tempat memanaskan ruang tamu yang masih berdiri gah dimakan usia. Ia adalah satu-satu yang tinggal dan masih kekal seperti asal binaannya. Cebisan binaan seperti tangga batu, cebisan atap zink, tiang batu dan saluran air bertaburan di atas rumput

           Apa yang menarik, terdapat dua telaga berdekatan dengan “chimney” tersebut dan airnya jernih dan digunakan oleh pendaki-pendaki yang bermalam disitu. Air yang tidak tercemar di persekitaran yang terpelihara adalah anugerah tuhan yang perlu kita pertahankan. Sebaldi air sejuk telaga dicurahkan  ke atas kepala  sudah cukup untuk menyegarkan sesiapa yang sampai kepuncak. Nafas sesak kembali lega untuk sementara. Kira-kira 150 meter dari runtuhan ini ada sebuah Kota Lama peninggalan Britis yang masih lagi berdiri kukuh dan dipenuhi semak samun. Kedudukannya amat strategik dan pada ketinggian tersebut pendaki boleh melihat pemandangan yang sangat  indah dan seluruh Pekan Kuala Kubu jelas kelihatan.  Kami menyediakan khemah di situ. Dalam hutan pada waktu begini  memang amat menakutkan kerana suasana gelap dan seronok.Apa yang pasti kami berjaya sampai ke bawah dengan selamat tanpa apa-apa kecederaan.

























    1 comment: